Kemenangan PH buat ramai rakyat Malaysia di luar negara mahu balik - Kula

Kemenangan PH buat ramai rakyat Malaysia di luar negara mahu balik - Kula
M Kula Segaran mensasarkan peningkatan sebanyak 1,000 orang rakyat Malaysia di luar negara kembali. - Foto: Astro AWANI/Shahir Omar
PETALING JAYA: Jumlah permohonan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali ke negara dilihat meningkat selepas kejayaan Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Umum, Mei lepas, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Jelas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, pada tahun lepas saja, peningkatan permohonan kembali sebanyak 20 peratus direkodkan melalui Program Kepulangan Pakar (REP) kelolaan Talent Corporation (Talent Corp).

"Biasanya antara 400 hingga 500 permohonan diterima, tapi untuk tahun ini kita sasar 1,000 orang kerana jumlah permohonan meningkat. Ini menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi dan kerajaan, kita alu-alukan mereka kembali untuk berkhidmat dalam negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat TalentCorp di di sini, pada Rabu.
Kula Segaran berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ingin kembali bekerja di dalam negara terlibat dalam bidang pembuatan, perkhidmatan perniagaan dan pendidikan.

"Mereka ini kebanyakannya bekerja dalam dalam bidang pembuatan, perkhidmatan perniagaan, dan pendidikan.

"Peningkatan ini menunjukkan ke arah itu (sebab tukar kerajaan), kerajaan baru memerintah, ekonomi dan sistem baru, ia menggalakkan ke arah yang lebih positif," katanya lagi.

Buat masa kini, kata beliau, dianggarkan seramai sejuta rakyat Malaysia yang dipercayai bekerja di luar negara.

Dalam pada itu, Kula Segaran turut mengumumkan perpindahan TalentCorp daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Sumber Manusia.

Matlamat baru TalentCorp katanya adalah untuk memberi tumpuan kepada inisiatif dan intervensi untuk mewujudkan peluang kepada para profesional dan graduan di Malaysia.

Tag: M Kula, M Kula Segaran, Pakatan Harapan, Menteri Sumber Manusia, pilihan raya umum, Parlimen, rakyat Malaysia, Talent Corp


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.