Kementerian, agensi kerajaan perlu kongsi maklumat atasi isu dera

Kementerian, agensi kerajaan perlu kongsi maklumat atasi isu dera
Yeoh berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan memperkenalkan modul Pendidikan Seks di peringkat sekolah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perkongsian data dan maklumat membabitkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan amat penting bagi menangani isu penderaan kanak-kanak di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Beliau berkata perkongsian data membolehkan semakan serta rujukan dilakukan khususnya bagi mengenal pasti mereka yang pernah terbabit dengan jenayah penderaan kanak-kanak.

"Data dan maklumat yang diperoleh kementerian mendapati kebanyakan kes penderaan kanak-kanak dilakukan mereka yang mempunyai hubungan rapat seperti ibu dan bapa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas forum bertajuk 'Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?' di sini pada Khamis.
BACA: Pendidikan Seks: 'Jika tunggu, mungkin pelajar lagi pandai dari guru' 

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata kementeriannya bersama Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan memperkenalkan modul Pendidikan Seks di peringkat sekolah.

"Langkah itu penting memandangkan golongan kanak-kanak pada masa kini lebih terdedah dengan unsur-unsur seks terutamanya secara dalam talian melalui internet," katanya.

Forum anjuran Mahasiswa Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Polis Diraja Malaysia itu dikendalikan Profesor Undang-Undang (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal yang juga moderator bagi program yang berlangsung selama lebih dua jam itu.

Turut menyertai forum itu sebagai panel adalah Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi yang juga Ketua Unit Neonatal di Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur Dr Irene Cheah Guat Sim dan Hakim di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, Datin M. Kunasundary.

Hadir sama pada forum itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

-- BERNAMA