Kementerian Pendidikan masih belum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan pelajar menggunakan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihak kementerian akan terus mengadakan pertemuan dengan pihak yang terbabit sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita mahu mengambil jalan tengah (tentang perkara ini) dan berharap dapat mencapai penyelesaian terbaik bagi semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran hasil penyelidikan universiti-universiti penyelidikan seluruh Malaysia di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Dua hari lalu, Idris dilaporkan sebagai berkata kementerian itu tidak pernah membenarkan mana-mana IPTS menawarkan kursus jangka panjang kepada pelajar lepasan SPM dengan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan.

Beliau sebaliknya berkata keputusan peperiksaan itu hanya boleh digunakan untuk memohon kursus jangka pendek seperti Muzik dan Bahasa Inggeris.

Tindakan kementerian yang melarang penggunaan keputusan peperiksaan percubaan SPM untuk mengikuti program pra-universiti dan asasi di IPTS bagi sesi bermula 2015 itu telah menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa di negara ini.

Idris berkata rasional larangan tersebut adalah untuk memastikan kursus yang ditawarkan berkualiti serta mematuhi piawaian ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau berkata surat peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua IPTS pada 23 Mei lepas, sekali gus menafikan dakwaan segelitir pihak bahawa kementerian telah membuat keputusan secara terburu-buru berhubung isu berkenaan.