Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengkaji untuk menyiarkan secara langsung perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada masa akan datang.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata ini susulan kejayaan penyiaran Piala Dunia 2018 yang disifatkan sebagai satu kejayaan besar kepada stesen berkenaan.

"Itu adalah satu perkara dibawa kepada perhatian kita, tetapi bukan untuk tahun ini kerana ia mungkin memakan dana yang besar, bukan juga tahun depan, tetapi tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Jom Bola Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 Bersama Menteri KKMM di Padang Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong di sini malam tadi.

Gobind berkata KKMM komited untuk membawakan lebih banyak sukan secara langsung bagi meningkatkan kualiti stesen TV kerajaan itu.

Kerajaan melalui RTM menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia bermula 14 Jun lepas hingga hari ini (15 Julai).

Siaran tersebut mendapat tajaan berjumlah RM30 juta menerusi Maxis Bhd dan AirAsia Bhd.

Dalam pada itu, Gobind berkata rancangan menaik taraf RTM juga melibatkan projek Media City di Angkasapuri yang dijangka siap dua bulan lagi.

"Suka saya katakan bahawa dengan siapnya Media City ini dengan dilengkapi peralatan dan teknologi moden akan membantu menaiktaraf kualiti penyiaran RTM," katanya.

Sementara itu, pada program malam tadi, lebih 1,000 hadirin yang terdiri daripada warga Puchong dan kawasan sekitar bersama-sama menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di dua layar gergasi.

Perlawanan akhir yang menyaksikan aksi pasukan Perancis dan Croatia itu bermula 11 malam waktu Malaysia.

Gobind, Ahli Parlimen Puchong memilih menyokong pasukan Perancis dengan ramalan 2-0.

Katanya lagi, beliau sempat bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pagi Ahad dan dalam pertemuan itu Dr Mahathir menyatakan menyokong pasukan Croatia. -- Bernama