Kementerian Kerja Raya akan mengkaji semula semua infrastruktur projek yang telah diluluskan sebelum ini bagi mengenal pasti tahap keperluannya, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata kementerian itu bertanggungjawab untuk membina infrastruktur yang baik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan sehubungan itu keutamaan akan diberi kepada projek-projek yang melibat dan diperlukan oleh rakyat.

"Selepas empat hari memegang jawatan menteri, saya difahamkan terdapat beberapa projek kategori kritikal dan sangat kritikal yang perlu diberi keutamaan demi kebaikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf jalan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata fokus Kementerian Kerja Raya kini ialah kepada projek-projek infrastruktur, hospital, sekolah dan bekalan air bersih khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Bukan sahaja Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan, negeri-negeri di Semenanjung juga akan diberi perhatian supaya semua projek infrastruktur akan memberi impak yang baik kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Baru berkata projek yang telah ditandatangani perjanjian dan diberikan kepada kontraktor yang sepatutnya, akan diteruskan kecuali ada isu yang dibangkit mengenai projek berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Baru berkata kerajaan Pulau Pinang telah membangkitkan dua projek hospital yang perlu diutamakan.

"Menerusi taklimat ringkat bersama Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) awal pagi ini, beliau telah meminta kementerian memberi keutamaan kepada projek naik taraf Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya demi keselesaan rakyat," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan projek menaik taraf jalan negeri bernilai RM123 juta yang merangkumi jejambat dua hala menghubungkan Batu Maung dan Jalan Sultan Azlan Shah; menaik taraf persimpangan Batu Maung kepada bulatan Batu Maung; membina sebuah jejantas di Sekolah Kebangsaan Batu Maung; dan menaik taraf jalan dari dua lorong sehala kepada empat lorong dua hala.

-- BERNAMA