Kementerian Kerja Raya kini sedang menjalankan tindakan pembetulan terhadap keempat-empat teguran yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 baru-baru ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Zohari Akob berkata empat teguran itu adalah pembinaan Pusat Jagaan Ambulatori dan Hemodialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan; projek menaiktaraf Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, Johor; pengurusan penyenggaraan bangunan Pejabat Kerajaan di Putrajaya serta pengurusan kerja awal melalui kontrak.

Beliau berkata bagi Projek Menaiktaraf Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, Johor, kerja-kerja membaiki keretakan dinding, resapan air, kondensi dan kulat, tandas bocor, injap pelepas angin dan permukaan jalan rosak telah selesai.

"Skrin genset, paparan kurang jelas sudah dibaiki, papan tanda di bilik elektrik juga telah dipasang manakala kotak tanam yang menghalang laluan pejalan kaki telah dibuka.

"Kesemua kerja penambahbaikan tersebut dijalankan secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada 5 Nov lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 telah dibentangkan di Parlimen pada Isnin lepas yang antara lain menyaksikan sebanyak 268 syor dikemukakan bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan yang dilapor.

Menurut Zohari, kementerian juga pada 10 Nov lepas, telah siap membaiki keretakan pada ruang parkir orang kelainan upaya (OKU) selain membaiki kamera litar tertutup (CCTV) dan kondensi siling serta memasang peti simpang di Pusat Jagaan Ambulatori dan Hemodialisis, Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.

Bagi teguran tentang pengurusan penyenggaraan bangunan Pejabat Kerajaan di Putrajaya pula, Zohari berkata semua bilik kawalan sistem bangunan di tujuh bangunan kerajaan telah berfungsi manakala pengalir sistem panahan petir yang hilang telah diganti.

"Kita juga melantik Anggota Jawatankuasa Penilaian Tender, Teknikal dan Kewangan. Tarikh akhir penambahbaikan yang dilaksanakan pada 30 Nov ini," katanya.

Merujuk kepada teguran Ketua Audit terhadap pengurusan kerja awalan melalui kontrak kerja pula, Zohari memaklumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan garis panduan bagi memastikan kelulusan jawatankuasa diperoleh terlebih dahulu sebelum pengeluaran dokumen tender.

Katanya, pelaksanaan tersebut dijangka selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Mengenai teguran punitif terhadap Projek Menaiktaraf Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat dan pengurusan kerja awalan melalui kontrak kerja, Zohari berkata Jawatankuasa Siasatan Khas telah selesai menjalankan siasatan pada 16 Nov dan mengemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk tindakan lanjut.