Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan pihaknya tidak melantik mana-mana wakil atau ejen untuk menjual papan tanda larangan merokok di semua premis makanan susulan penguatkuasaan larangan itu mulai esok.


Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya hanya menetapkan spesifikasi papan tanda berukuran 40sm lebar dan 50sm panjang.

Menurut beliau, ada pihak menjual papan tanda itu dengan harga RM10 sekeping.

Bagaimanapun, katanya, peniaga boleh membuat tanpa kos mengikut spesifikasi papan tanda yang telah ditentukan.

“Sudut meletakkan papan tanda tidak penting asalkan ada papan tanda larangan merokok.

“Ada yang bertanya boleh ke tambah bahasa Cina, Tamil dan Inggeris, serta tambahan perkataan 'dilarang merokok denda RM10,000', itu pun tiada masalah," katanya selepas menghadiri Program Gotong-Royong Membanteras Wabak Denggi di Padang Taman Rasa Sayang di sini hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria.


Menurut Dr Boon Chye, kegagalan mempamerkan papan tanda itu, peniaga boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 manakala, perokok pula boleh didenda sehingga RM10,000.


“Jumlah papan tanda yang perlu dipamerkan, biasa satu sudah cukup di kawasan ketara, tidak perlu tampal setiap meja," katanya.

Sementara itu, Howard berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada peniaga makanan, terdapat usaha pihak tertentu mengambil peluang mengaut keuntungan dengan menyamar sebagai wakil kerajaan.


“Memang tiada usaha mengaut keuntungan daripada perlaksanaan peraturan baharu ini malah, MBI sendiri menampal secara percuma di gerai makanan di bawah kendaliannya," katanya.