Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini menafikan dakwaan bahawa punca masalah bekalan air di Selangor adalah disebabkan tindakan sabotaj penutupan paip utama seperti mana yang dilaporkan oleh Edisi Kantoi.

Ketua Setiusaha KeTTHA, Datuk Seri Zaini Ujang berkata laporan yang sama telah disiarkan pada 2013 dan 2014 dan kini diulang siar sekali lagi bagi menyalahkan kerajaan persekutuan.

"Ia sebenarnya adalah satu percubaan untuk menyembunyikan ketidakcekapan kerajaan Selangor dalam pengurusan air," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan jumlah gangguan bekalan air adalah petunjuk utama untuk mengukur tahap kecekapan perkhidmatan bekalan air.

"Selangor mencatatkan jumlah gangguan tertinggi iaitu 259,537 gangguan pada 2016, berbanding Pulau Pinang (3,778) dan Melaka (2,267)," katanya.

Beliau berkata mengikut kapasiti reka bentuk, resab margin simpanan air di Selangor pada 2017 adalah kosong peratus.

"Faktor ini dikenal pasti antara penyumbang utama masalah bekalan air di Selangor. Jika berlaku kerosakan loji, paip pecah atau kenaikan permintaan mendadak seperti di musim perayaan, kemungkinan kawasan tertentu di Selangor mengalami gangguan bekalan air adalah tinggi," katanya.

Zaini berkata jalan penyelesaian kepada masalah tersebut termasuklah menambah bekalan air terawat menerusi pembinaan loji rawatan air baru, mengurangkan kadar air hilang (non-revenue water) dan menjimatkan penggunaan air. -- Bernama