Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memandang positif tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita longgokan simpanan bauksit di Kuantan, Pahang sehingga siasatan isu perlombongan haram bauksit di negeri itu selesai.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah SPRM itu secara tidak langsung membantu kementeriannya untuk memastikan jumlah sebenar simpanan bauksit yang terkumpul.

"Simpanan stok yang telah disita telah ditanda oleh SPRM... saya rasa lega dengan tindakan tegas SPRM kerana ini membantu kementerian mengenal pasti jumlah sebenar longgokan bauksit yang terbatas daripada pengetahuan kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Kepimpinan Tradisional Malaysia dalam Sistem Kerajaan Monarki Berparlimen' pada majlis Syarahan Za'ba 2017 di Universiti Malaya di sini.

SPRM sebelum ini menyita lebih 10 juta tan metrik simpanan bauksit di Kuantan termasuk memantau sebarang eksport bauksit di Pelabuhan Kuantan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (OPerasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata SPRM juga mencadangkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mengkaji semula pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada pengusaha lombong bauksit selain membatalkan kesemua AP sedia ada bagi memudahkan siasatan SPRM.

Wan Junaidi berkata berdasarkan undang-undang, kementeriannya tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki lokasi perlombongan atau simpanan bauksit untuk membuat pemeriksaan stok.

Katanya kementerian hanya diberi kuasa bagi pengeluaran atau pembatalan AP untuk tujuan eksport dan bukan memasuki kawasan bauksit.

Beliau berkata pengusaha bauksit yang dibatalkan AP juga sering melanggar peraturan apabila berdegil meneruskan kerja menggali bauksit dan terdapat juga menyalah guna AP yang sepatutnya untuk membawa keluar baki stok bauksit sebaliknya bertindak mengorek dan membawa keluar stok baharu.

"Sebab itu, banyak lagi longgokan bauksit di kawasan penyimpanan dan pelabuhan yang sepatutnya dikosongkan seperti tidak terusik... malahan ada pula longgokan baharu," katanya.

Terdahulu dalam syarahannya, Wan Junaidi berkata kehilangan kuasa raja-raja Melayu bukan sahaja berlaku di zaman penjajah, tetapi juga berlaku di zaman orang Melayu sendiri menjadi pemimpin negara.

"Pada 1993 misalnya, memperlihatkan hilangnya kuasa raja-raja Melayu untuk mempertahankan undang-undang di mana dalam masa 30 hari, undang undang boleh digazet dan diwarta meskipun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya.

Katanya pada masa depan, perlembagaan tidak seharusnya dipinda sewenang-wenangnya kerana bakal memberi kesan untuk jangka masa panjang.

-- BERNAMA