Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan lanjut isu telur ayam tercemar dari Eropah serta menunggu kenyataan negara pengeluar mengenainya, kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau bagaimanapun berkata pengguna tidak perlu risau mengenai kemungkinan produk tercemar tersebut memasuki negara ini memandangkan Malaysia tidak mengimport telur.

"Kita sedang tunggu kenyataan daripada negara pengeluar produk kerana mereka memang sedang buat pemeriksaan terhadap barangan buatan mereka.

"Sekiranya terdapat bukti bahawa pencemaran ini sudah berlaku di dalam produk seperti kek, biskut dan sebagainya yang dihasilkan di negara berkenaan, kita yakin ia dapat dikesan kerana mereka mempunyai sistem kawalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat, berkata jika keadaan itu berlaku Malaysia akan mengambil langkah yang seiring dengan negara pengeluar.

Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia tidak mengimport telur ayam dari Eropah yang dipercayai tercemar dengan fipronil, sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

Mengulas perkembangan lain, Dr Subramaniam mahu pihak hospital di negara ini meningkatkan kerjasama dengan syarikat pengurusan sampah bagi mengelakkan masalah kebersihan yang membawa kepada penutupan seperti kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor.

"Kantin tersebut telah diarahkan untuk ditutup dan kita juga telah menghantar notis kepada hospital dan konsesi kerana sekiranya perkara berkenaan dibiarkan ia boleh membawa kepada masaalah kencing tikus yang tentunya menjadi satu isu yang lebih besar," katanya.

Mengenai program itu, Presiden MIC tersebut berkata pusat khidmat itu adalah satu daripada 11 pusat yang ditubuhkan di seluruh negara bagi membantu masyarakat India yang menghadapi masalah berkaitan pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

-- BERNAMA