Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemudahan sukan yang dikatakan dalam keadaan yang teruk di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor.

Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi pada Selasa berkata beliau akan mengarahkan pegawainya untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dakwaan bahawa sekolah itu tidak diselenggara dengan sempurna.

“Kami akan memberi perhatian kepada perkara ini dan memaklumkan bahagian sukan supaya mereka boleh menyiasat dan mengambil tindakan,” kata Puad.

Pada Julai tahun lepas, Astro Awani melaporkan tentang kemudahan sekolah sukan itu yang berada dalam keadaan yang teruk.

Padang hoki, gelanggang skuasy, padang bola sepak, gelanggang bola tampar, gelanggang sepak takraw dan lorong bowling di sekolah sukan itu didapati tidak diselenggara, sebahagiannya tidak berfungsi atau sama sekali tidak boleh diguna langsung.

SSTMI mula beroperasi pada 18 Januari , 1998 dan dikenali sebagai Sekolah Sukan Bandar Penawar pada ketika itu.

Pada 16 April, 2011, Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah merasmikan sekolah itu dan serentak itu telah ditukar nama sempena nama baginda.

Sekolah itu telah melahirkan ramai atlet kebangsaan termasuk pemain bola sepak kebangsaan Shakir Shaari dan Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, Puad juga mempertahankan dasar 1Murid1Sukan yang diperkenalkan pada tahun 2011, meskipun mendapat kritikan.

“Kita lihat pelaksanaannya adalah lancar,” kata beliau.

“Sekolah yang tidak mempunyai kemudahan sukan yang secukupnya boleh mempromosikan sukan lain seperti berjoging, senaman aerobik dan silat. Alternatif lain boleh dicuba,” Puad menambah.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah perlu menjadi lebih inovatif dalam menyemai budaya sukan selaras dengan dasar 1Murid,1Sukan.