Kementerian Pelajaran akan meningkatkan lagi tahap penilaian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan matlamat untuk melahirkan pelajar yang beradab dan berakhlak tercapai.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Khair Mohamad Yusof berkata, kementerian itu akan berusaha meningkatkan kaedah penilaian peperiksaan dengan memberi penekanan utama terhadap konsep perkongsian ilmu sesama pelajar.

Katanya, definisi beradab dan berakhlak itu ialah seseorang pelajar tidak hanya pandai dalam akademik tetapi juga mampu membantu rakan lain yang lemah.

Beliau berkata menerusi PT3, peperiksaan akademik hanya akan dinilai sehingga band 3 sahaja dan untuk mendapat band 6 iaitu pencapaian tertinggi dalam PT3 itu, mereka haruslah membuktikan telah membantu rakan lain yang lemah.

"Kita tidak mahu pelajar menganggap peperiksaan sebagai persaingan tetapi ia adalah satu kerjasama," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat peringkat pegawai pada Dialog Strategik Menteri Pendidikan Ke-2, Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) di sini pada Rabu.

Khair berkata, negara tidak mahu mengeluarkan pelajar yang hanya menumpukan pencapaian akademik sahaja tetapi tidak mempunyai nilai-nilai peribadi yang baik serta tidak membantu antara satu sama lain.

"Kita mahu pelajar memahami kerja berpasukan di peringkat sekolah lagi dan mereka mempunyai akhlak yang baik," katanya.

PT3 adalah satu pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid pada peringkat menengah rendah bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang telah dimansuhkan dua tahun lepas.

Terdapat empat ujian yang perlu dilakukan oleh calon-calon iaitu kajian kes untuk mata pelajaran Geografi dan Sejarah, ujian lisan bertutur dan ujian mendengar untuk bahasa Inggeris dan bahasa Melayu serta ujian bertulis untuk mata pelajaran selanjutnya.

Khair berkata, Kementerian Pendidikan juga akan berusaha untuk mengkaji penggunaan teknologi maklumat dalam sistem pembelajaran di sekolah yang telah dilaksanakan di beberapa buah negara termasuk di Indonesia.

Katanya, Malaysia mempunyai kapasiti yang tinggi untuk melaksanakan kaedah pembelajaran sedemikian tetapi masih tidak melaksanakannya kerana kekangan beberapa masalah teknikal.

Beliau berkata, dalam lawatannya ke sebuah sekolah rendah di Bandung, guru-guru sekolah berkenaan telahpun mewujudkan satu kumpulan perbincangan dengan menggunakan aplikasi laman sosial di internet.

"Pelajar boleh mendapatkan penjelasan daripada guru mereka dalam perbincangan secara berkumpulan menerusi laman sosial seperti kumpulan WhatsApp dan guru-guru pula memasukkan soalan dalam aplikasi laman sosial itu sebagai tugasan pelajar," katanya.

Khair berkata Malaysia sepatutnya telah melaksanakan kaedah pembelajaran seumpama itu dan ia akan dibincangkan oleh Kementerian Pendidikan nanti.