Dua isu berkaitan Sarawak dibahaskan dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia mengenai usaha mengatasi masalah sekolah rosak akibat bencana dan juga kemajuan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Bagi penyelesaian jangka pendek, RM50,000 diperuntukan kepada setiap pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk pembaikan segera sekolah yang rosak akibat bencana, khususnya banjir.

Manakala untuk penyelesaian jangka panjang, Kementerian Pendidikan bersedia memindahkan sekolah yang kerap dilanda banjir ke tempat yang lebih tinggi.

"Langkah itu nanti akan membabitkan penggabungan sekolah. Kalau ada senarai untuk digabungkan sila serahkan kepada kami. Kami kena pastikan ia dipersetujui semua," kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya mengesahkan tiada sektor dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo mengalami kelewatan sebaliknya, pembinaan projek itu mendahului jadual.

“Sehingga Feb 2019, prestasi kemajuan fizikal pakej tersebut adalah mendahului jadual dengan 29.1 peratus berbanding jadual 22.03 peratus," kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Tambah anuar, cadangan penambahbaikan seperti jejambat juga boleh dipertimbang.