Kementerian Pendidikan nafi tarik balik kebenaran cuti tambahan Deepavali

Kementerian Pendidikan nafi tarik balik kebenaran cuti tambahan Deepavali
Soal cuti tambahan sempena Deepavali yang akan disambut 6 November ini menimbulkan sedikit kekeliruan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat pekeliling menarik balik kebenaran cuti tambahan sempena Deepavali kepada sekolah-sekolah menengah yang memohon.

Kementerian itu dalam kenyataan pada Ahad menjelaskan, kuasa memberi kelulusan cuti peristiwa atau cuti ganti adalah di bawah bidang kuasa Pendaftar Negeri iaitu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan hanya Pengarah JPN boleh meluluskan permohonan cuti tambahan.

"Keputusan berkenaan adalah tertakluk kepada budi bicara Pengarah JPN dari segi enrolmen murid dan guru yang menyambut perayaan Deepavali," kata kementerian itu bagi mengulas laporan akhbar Malaysia Nanban semalam mengenai cuti tambahan sempena Deepavali, Selasa ini.
Kenyataan itu menyebut sekiranya jumlah cuti peristiwa sekolah telah habis digunakan dan masih inginkan cuti tambahan, pihak sekolah boleh memohon untuk mendapatkan cuti berganti.

"Oleh itu, sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan pelajar kaum India yang ramai boleh memohon cuti tambahan daripada Pengarah JPN masing-masing," menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, bagi sekolah-sekolah di kawasan Gombak, Selangor seperti yang dilaporkan akhbar itu, Pengarah JPN Selangor telah memberi jaminan akan meluluskan permohonan cuti tambahan yang dipohon.

Sehubungan itu, sekolah-sekolah terbabit perlu berhubung dengan pejabat Pengarah JPN Selangor pada hari ini (Isnin).

-- BERNAMA