Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti kurikulum yang tidak relevan pada masa kini untuk dijumudkan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, inisiatif merombak kurikulum itu seiring Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan penggunaan jentera.

"Kita juga menggunakan kaedah pembelajaran baru yang bergerak daripada individu kepada pedagogi pembelajaran berteraskan masyarakat.

"Ia turut menggunakan teknologi seperti adaptasi permainan maya, hologram, realiti maya (VR), realiti berperantara (AR), pengguna visual, simulasi dan penerokaan internet.

"Penambahbaikan kurikulum turut dilaksanakan melalui pendekatan industri dan akademi, sekali gus memusnahkan tembok pemisah yang selama ini merencatkan proses padanan sektor pekerjaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota Tinggi) yang meminta kementerian itu menyatakan persediaannya merancang transformasi pendidikan tinggi dalam berdepan kesan Revolusi Industri 4.0.

Malah, jelas Idris, isu graduan tidak mendapat peluang pekerjaan kerana ia diambil alih penggunaan jentera menjelang Revolusi Industri 4.0 adalah tidak benar.

Ujarnya, sebahagian besar rangkaian tugasan di sektor industri masih memerlukan tenaga pakar manusia bagi tujuan penyelenggaraan dan pemantauan.