Kementerian Pendidikan akan menubuhkan Majlis Bahasa Melayu yang berperanan untuk menyebar luas dan mengiktiraf Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) di dalam dan luar negara, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata penubuhan majlis itu adalah antara langkah yang akan diambil kerajaan dalam tempoh lima tahun ini untuk terus memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan memberikannya peranan yang lebih proaktif setaraf dengan pusat serta institusi bahasa di negara maju.

"DBP, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, universiti awam dan bahagian-bahagian di kementerian sedang membangunkan KSBM sebagai kerangka rujukan untuk mengukur kompetensi berbahasa dalam kalangan penutur natif dan bukan natif," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Mohd Nor Monutty mengenai perancangan merombak DBP agar setara dengan institusi antarabangsa.

Maszlee berkata antara langkah lain yang diambil adalah mengkaji semula Akta DBP untuk memberikannya peranan yang lebih proaktif serta mampu beroperasi setara dengan fungsi organisasi antarabangsa.

Selain itu, penstrukturan semula peranan bahagian-bahagian di DBP dengan memberikan penekanan khusus terhadap fungsi pengantarabangsaan dengan mewujudkan pejabat atau cawangan di lokasi terpilih dan strategik di luar negara bagi melaksanakan fungsi penyebaran bahasa dan budaya Melayu di luar negara.