Kementerian Pengangkutan melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) sedang menjalankan soal selidik dalam talian mengenai "Pengambilan Alkohol dan Penguatkuasaan Undang-Undang Yang Lebih Tegas Terhadap Kesalahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk".

Kementerian itu melalui kenyataan hari ini memaklumkan soal selidik itu bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan orang awam berhubung kandungan alkohol yang perlu dibenarkan dalam undang-undang atau peraturan yang akan dipinda di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

"(Soal selidik itu juga) berdasarkan kepada keputusan jemaah menteri yang telah bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan mengkaji semula Akta 333.

(Ia untuk) menaikkan hukuman atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk termasuk menurunkan had kandungan alkohol yang dibenarkan dalam badan pemandu seperti mana standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," menurut kenyataan itu.

Orang awam dijemput bersama-sama dalam menjawab soal-selidik berkenaan yang mula dilaksanakan pada 21 Mei 2020 sehingga 4 Jun ini di pautan: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdFO_IIrh6otCgdFLcr9p1-cggYWWfirK6bQu90AWdBhxFVaA/viewform.


Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia menyaksikan beberapa kejadian melibatkan pemandu mabuk dan insiden terbaharu ialah seorang pemandu yang dipercayai mabuk mengamuk dengan memandu kenderaan pacuan empat rodanya secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera.


Pada 3 Mei lepas seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

-- BERNAMA