Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan tiga pelajar yang disyaki dijangkiti virus influenza H1N1 di Melaka seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dakwaan itu.

"Saya berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika merasmikan kursus Pemantapan Kualiti Kepimpinan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bagi negeri Johor di Ayer Keroh, Melaka.

Sementara itu, Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Negeri Datuk Ng Choon Koon ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berkenaan dakwaan ini.

Terdahulu, sejak minggu lalu, tular di media sosial kononnya tiga pelajar dari salah sebuah sekolah rendah di melaka tengah di jangkiti virus H1N1.

Salah seorang daripadanya kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) salah sebuah hospital swasta di negeri ini.