90 peratus daripada sisa pepejal di laut terdiri daripada plastik yang dianggarkan lapan juta tan bahan itu dibuangkan ke laut saban tahun.

Setiap tahun juga, sekurang-kurangnya sejuta burung laut, 100,000 mamalia marin dan penyu mati akibat terjerut atau tertelan plastik.

Demikian menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Haji Mohammad Mentek dalam satu kenyataan memetik laporan Journal Science.

Sehubungan itu, sempena pelaksanaan sistem pengasingan sisa pepejal di punca pada 1 September 2015, pelancaran kempen pengumpulan satu juta botol, "1 Million Bottle One Dream (1MBOD)" di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya diharap dapat meningkatkan kesedaran rakyat tentang impak negatif pelupusan plastik secara tidak sempurna, kata Mohammad.

"Bersempena pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca pada 1 September 2015, saya difahamkan SWCorp telah menganjurkan Program Pengumpulan 1 Juta Botol, 1 Million Bottles One Dream.

"Program ini merupakan salah satu kempen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan pengasingan sisa yang boleh dikitar semula contohnya botol plastik yang merupakan antara sisa yang sukar untuk dilupuskan dan jika ianya dibakar, ia akan menghasilkan bahan toksik yang seterusnya membawa kemudaratan kepada kesejahteraan alam sekitar," beliau berkata semasa melancarkan kempen itu.

KPKT telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu pembuangan sampah dan mengubah minda masyarakat untuk membudayakan amalan kebersihan.

Pelbagai alternatif seperti pemantauan Petunjuk Prestasi Utama, (KPI) atas perkhidmatan yang ditetapkan, Operasi Mata Helang terhadap pembasmian sampah haram dan juga pembersihan longkang yang dilaksanakan oleh SWCorp telah mendapat keputusan yang memberangsangkan.

"Semenjak penguatkuasaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) enam tahun yang lalu, pelbagai bentuk pembaharuan dalam landskap perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam telah dilaksanakan oleh SWCorp, " tambah beliau.

Beliau berharap kementerian, agensi terlibat dan orang ramai memandang serius perkara ini kerana banyak lagi tugas yang perlu dilaksanakan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera.

Pelaksanaan sistem pengasingan sisa pepejal di punca akan dikuatkuasakan pada 1 September 2015 secara mandatori.

Ini meliputi enam negeri- Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan dua wilayah persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah menerima pakai Akta 672.

Perkara ini dilihat sebagai satu inisiatif berkesan ke arah mencapai matlamat itu.