Kempen PRK Sandakan yang terbaik, harus dipuji - SPR

Kempen PRK Sandakan yang terbaik, harus dipuji - SPR
Dr Azmi Sharom puji cara orang Sabah berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Sandakan kali ini. - Gambar fail
SANDAKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan perjalanan kempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan adalah yang terbaik berbanding beberapa PRK pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, walaupun terdapat laporan dan aduan, namun ia bukan sesuatu yang luar biasa.

“Buat masa ini amat baik sekali sebab saya rasa di sini kurang masalah berbanding PRK di Semenanjung. Ini satu kebaikan orang Sabah.
“Saya tahu ada masalah, aduan dan sebagainya, tetapi ini bukanlah sesuatu luar biasa dan amat sedikit (aduan) berbanding PRK sebelum-sebelum ini. Secara amnya, sikap semua pihak harus dipuji dan ini adalah satu yang patut dicontohi,” katanya kepada media di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dan beberapa Ahli SPR lain meninjau proses semakan peralatan mengundi untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua.

Mengulas mengenai persiapan SPR, Azmi berkata, pihaknya turut menambah lagi petugas SPR daripada 700 kepada 798 anggota bagi PRK tersebut.

“Ini adalah satu pertambahan yang saya rasa sangat perlu dan satu penambahbaikan yang elok di mana kita menambah satu pegawai di saluran satu dan dua iaitu di mana warga emas dan OKU pergi mengundi.

“Kita perlu bantuan misalnya mereka yang berkerusi roda atau bantu mereka yang menggunakan tongkat. Jadi ada anggota akan tolong mereka. Itu adalah salah satu penambahbaikan yang kita perkenalkan pada PRK ini,” jelasnya.

Seramai 39,684 orang pengundi bakal mengundi pada PRK Sandakan esok di mana 19 pusat mengundi di 90 saluran dibuka tepat jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

SPR menjangkakan keputusan rasmi akan diumumkan sebelum pukul 10 malam.

Tag: Kempen PRK Sandakan yang terbaik, PRK Sandakan, PRU14, SPR, Suruhanjaya Pilihan Raya, Dr Azmi Sharom


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.