Kempen #UndiRosak yang dijalankan oleh kumpulan tertentu di media sosial menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai usaha untuk merosakkan sistem demokrasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kempen yang tidak memberi sebarang kebaikan itu juga merupakan percubaan pihak tertentu untuk menjadi kuasa ketiga (third force) dalam PRU14 sebagai usaha untuk merosakkan pilihan raya berkenaan.

“Saya sebut ini kerana ada pihak mahu memecah dan merosakkan kita (negara), mereka jadikan #UndiRosak sebagai trending baharu untuk kerosakan PRU14.

“Kita harus melihat bahawa pada hari pengundian sama ada kita undi kerajaan sedia ada atau parti lain, itu hak masing-masing tetapi demokrasi perlu dilaksanakan,” tegas beliau ketika berucap merasmikan Pesta Ponggal 2018 di sini ada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, daripada undi itu dirosakkan tanpa sebarang objektif kukuh, lebih baik undi berkenaan diberikan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN).

“Lebih baik jika kita terus beri kepercayaan kepada calon-calon BN, supaya BN boleh terus memberi bakti dan khidmat kepada semua kaum di negara ini, jangan terpengaruh dengan kempen itu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kempen undi rosak yang dijalankan oleh kumpulan tertentu bagi mempengaruhi pengundi muda untuk merosakkan undi sebagai tanda protes terhadap pemilihan Tun Mahathir Mohamed sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.