Padah melarikan sebotol air Ribena dan wang tunai RM50 dari sebuah kedai runcit di Kampung Benggali, di sini, seorang lelaki akhirnya ditahan polis.

Suspek yang berusia 52 tahun itu diberkas pada jam 4 petang Ahad selepas bertindak menyamun di premis berkenaan pada jam 8.20 malam.

Suspek yang dibawah pengaruh dadah itu juga tidak sempat meneguk air Ribena apabila polis merampas semula minuman tersebut bersama sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dua kejadian melibatkan suspek sebelum penahanan tersebut dibuat.

Katanya, sebelum menyamun di kedai runcit, suspek dikatakan telah mengamuk di hadapan sebuah pusat hiburan di Butterworth selain mengejar pengurus pusat hiburan itu dengan sebilah pisau pada jam 3.45 petang hari yang sama.

Noorzainy berkata, suspek kemudiannya berjaya dicekup pada hari sama hasil daripada semakan pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedua-dua premis berkenaan.

Menerusi rakaman CCTV, suspek dilihat melakukan kegiatan samun tersebut selain dia didapati merosakkan sebuah kereta dalam kejadian di pusat huburan.

Suspek yang tidak mengenali kedua-dua mangsa dipercayai bertindak demikian kerana mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, Noorzainy berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau itu positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan 506/427 Kanun Keseksaan.