Tutup

Kemudahan jalur lebar luar bandar akan diambil kira - Gobind

Kemudahan jalur lebar luar bandar akan diambil kira - Gobind
Gobind Singh Deo berkata beliau dapat melihat sendiri apa yang perlu dilakukan selepas mengakhiri program pemimpin bersama rakyat di empat kampung di sini dan bahagian Serian.
KUCHING: Keperluan untuk menaik taraf infrastrukur di kawasan pedalaman seperti mewujudkan pusat internet di Kampung Benuk di sini akan diambil kira sebagai satu inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata beliau dapat melihat sendiri apa yang perlu dilakukan selepas mengakhiri program pemimpin bersama rakyat di empat kampung di sini dan bahagian Serian.
"Perkhidmatan 4G yang dapat digunakan sekarang ini di kampung ini walaupun diberitakan baru dua hari berfungsi, namun ia satu permulaan yang baik ke arah penambahbaikan supaya dapat diselaraskan kepada semua kawasan selepas ini," katanya ketika menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Benuk, Jalan Puncak Borneo dekat sini pada Sabtu.

Kampung ini adalah kampung Bidayuh ketiga dalam kunjungan beliau pada hari ini, bermula dengan Kampong Mujat yang bersejarah dan Kampong Paon Rimo.
Gobind turut berkata keharmonian yang wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak harus dijadikan satu teladan dan iktibar kepada semua dalam usaha membina Malaysia Baharu.

"Saya harap masyarakat Dayak akan menggunakan perayaan Gawai Dayak untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan jalinan mesra antara masyarakat berbilang kaum yang ada di negara kita," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya Anggota Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin menyentuh mengenai masalah kelemahan sistem komunikasi di kawasannya yang pantas mendapat reaksi daripada Gobind.

Katanya, penduduk di Kampung Benuk berharap agar pembangunan komunikasi yang berterusan dan efektif dapat dilakukan seiring dengan slogan yang dilaungkan Kerajaan Pakatan Harapan, iaitu 'Malaysia Baharu' juga dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


Tag: Gobind Singh Deo, internet, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Perkhidmatan 4G



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.