Dua pengurus syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkaitan kontrak promosi pengiklanan kelolaan sebuah agensi kerajaan.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 29 Jun itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Dua pengarah syarikat berkenaan, seorang lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira 11 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM di sini, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes itu.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua pengarah syarikat berkenaan bersama sebuah agensi kerajaan disyaki bersekongkol mengemukakan dokumen dan maklumat palsu kepada sebuah syarikat pinjaman berjumlah lebih RM7 juta untuk melaksanakan projek kelolaan agensi kerajaan tersebut.

Kedua-dua individu itu juga pernah ditahan awal bulan ini atas kes yang sama, katanya.

Sumber SPRM itu berkata siasatan masih dijalankan untuk mengesan beberapa lagi pemilik syarikat lain yang disyaki turut terlibat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

-- BERNAMA