Hasil jualan dadah bernilai RM40,000 tidak sempat digunakan oleh seorang lelaki berusia 37 tahun apabila berjaya ditahan dalam satu serbuan di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, 18 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Polis, ACP Abdullah Mohamed Piah, maklumkan dalam serbuan ke atas rumah di kampung berkenaan pihaknya berjaya merampas hampir 300 botol ubat batuk, tiga gram dadah jenis heroin dan 0.3 liter air Ketum dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM3,700 ringgit.

Tangkapan terbabit merupakan sebahagian operasi cegah jenayah yang dijalankan unit Task Force Ibupejabat Polis Daerah Pasir Mas bermula 18 hingga 19 Januari lepas.


Foto Astro AWANI

“Lelaki berkenaan ditangkap di rumahnya pada 18 Januari lepas sekitar jam 5 pagi oleh pasukan Gerakan Am, PGA dan merampas dadah serta wang tunai sejumlah RM40,000,” katanya.

“Kita percaya wang tunai berkenaan merupakan hasil jualan dadah yang dijadikan modal pusingan suspek.”

Dalam beberapa siri tangkapan lain yang dijalankan pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dipercayai untuk edaran pasaran sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas dengan nilai keseluruhan lebih RM16,000.

18 orang penagih dan pengedar dadah di tangkap dalam operasi.

Kesemua tangkapan itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 (A) (1), Seksyen 39 (A) (2) dan Seksyen 39 A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tangkapan terbabit merupakan sebahagian operasi cegah jenayah yang dijalankan unit Task Force Ibupejabat Polis Daerah Pasir Mas bermula 18 hingga 19 Januari lepas. - Foto Astro AWANI

Kesemua tangkapan itu merupakan hasil maklumat orang ramai.

Jajahan Pasir Mas merupakan jajahan tertinggi mencatatkan bilangan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Kelantan.