Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan kenaikan elaun RM2 sejam berkuat kuasa serta-merta kepada semua anggota dan pegawai sukarelawan badan beruniform seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenaikan itu berikutan pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagi sukarelawan polis kenaikan elaun berkuatkuasa sebagaimana pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk seluruh anggota sukarelawan dalam pasukan pasukan sukarelawan yang lain kenaikan ini berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata peningkatan kadar elaun itu sebagai menghargai kesetiaan dan pengorbanan anggota serta pegawai sukarela badan beruniform di seluruh negara.

Dengan kenaikan itu beliau berharap, lebih ramai penyertaan dalam pasukan sukarelawan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar (IPD) di Alor Setar, Kedah.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Ahmad Zahid berkata selain membina bangunan baharu, langkah menambah baik berek polis turut membabitkan usaha menambah bilangan bilik tidur setiap unit daripada dua kepada tiga bilik dengan menyatukan dua unit berek kepada satu unit.

Beliau berharap kelengkapan pelbagai aset yang baharu menyaksikan kadar indeks jenayah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

"Adanya bangunan IPK dan IPD yang baharu menjadi ikonik akan lebih cantik apabila pengisiannya dapat dilakukan dengan kesungguhan semua anggota dan pegawai melakukan pencapaian yang baik membabitkan pengurangan jenayah,” katanya.

Semalam timbalan perdana menteri mengumumkan kenaikan elaun askar Wataniah dari RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam bagi anggota.