Kenaikan gaji tidak kurang daripada 10 peratus wajar diberi pertimbangan kerajaan dan majikan swasta sejajar dengan peningkatan produktiviti dan prestasi para pekerja di negara ini, demikian menurut kesatuan pekerja sektor awam dan swasta.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kenaikan gaji juga harus sesuai dengan kenaikan kos sara hidup semasa, khususnya kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Selain faktor kemampuan untuk menyara kehidupan seharian, Azih berkata seseorang pekerja khususnya penjawat awam juga perlu sekurang-kurangnya mampu membeli rumah dan menyara pendidikan anak-anak dengan gaji yang diterima.

"Gaji ini diukur daripada perkara tertentu seperti pencapaian akademik, pengalaman dan juga kebolehan seseorang pekerja itu, (selain itu) gaji juga harus dilihat berdasarkan kos sara hidup.

"Tetapi hari ini kita lihat gaji pekerja tidak mampu untuk menampung itu semua (kos sara hidup)," katanya di sini hari ini.

Menurut laporan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dibentangkan Isnin, kenaikan gaji pekerja adalah perlu, memandangkan produktiviti pekerja di Malaysia terus meningkat sejak tahun 1960.

Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani dilaporkan berkata, sejak lebih 50 tahun lepas, paras produktiviti pekerja sentiasa melebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga peningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.

Keadaan itu membuatkan gaji dan faedah yang dirasai oleh pekerja hanya sekitar 33 peratus sahaja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala selebihnya dinikmati syarikat bersama pemegang-pemegang kepentingan sesebuah entiti tersebut, kata Charon.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Kishnam yang senada dengan Azih berkata kenaikan gaji lebih daripada 10 peratus boleh membantu Malaysia mencapai taraf negara maju.

Kenaikan itu juga katanya akan merangsang pertumbuhan ekonomi kerana ia dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan pula berbeza pendapat apabila mengatakan peningkatan sebenar produktiviti tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja.

Sebagai contoh, beliau berkata, menurut laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), purata kenaikan produktiviti pekerja adalah kira-kira 2.5 peratus dalam 10 tahun kebelakangan ini.

"Tetapi kalau kita lihat kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja terutamanya sektor swasta ialah sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.

"Ini sudah tentu melebihi kadar peningkatan produktiviti berkenaan dan kadar itu juga harus dibandingkan dengan kadar sebenar produktiviti yang kita ada pada masa ini, yang mana tahapnya adalah kira-kira tujuh kali lebih rendah daripada di Amerika Syarikat dan Jepun.

"Jadi kalau kita ingin mengatakan bahawa peningkatan gaji itu tidak tinggi kalau dibandingkan dengan nilai produktiviti, itu adalah sesuatu yang tidak benar," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai satu lagi laporan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menyebut harga rumah yang boleh dibeli berdasarkan gaji median tahunan rakyat Malaysia masih lagi mahal daripada yang sepatutnya, Shamsuddin berkata kerajaan bertanggungjawab untuk mengawal harga berkenaan supaya harga rumah mampu untuk dimiliki.

Gopal Kishnam pula berpendapat kerajaan seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, memandangkan harga rumah ditentukan oleh pasaran semasa.