GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan 49 notis kepada penternak, pemborong dan peniaga di negeri itu berhubung isu kenaikan harga ayam yang mencecah RM10.30 sekilogram.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, peniaga diberikan tempoh beberapa hari bagi membekalkan maklumat berhubung kenaikan harga ayam untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kenaikan harga.

“KPDNHEP Pulau Pinang telah mengeluarkan 37 Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan (NPMB) dan 12 Notis Bertulis (NB) kepada penternak, pemborong dan peniaga.

“Mereka telah diberikan tempoh lima hari bagi notis NB dan dua hari bagi notis NPMB untuk membekalkan maklumat kenaikan harga ayam untuk dianalisis bagi memastikan tiada kenaikan harga bagi mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati cuba mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama penternak, pemborong dan peniaga bagi membantu menstabilkan harga ayam di peringkat rantaian pembekalan dan di pasar awam.

“Hasil perbincangan di semua peringkat yang terlibat, harga ayam di seluruh negeri Pulau Pinang telah menunjukkan penurunan.

"Ini selaras dengan komitmen kementerian dan penternak serta pemborong supaya peruncit boleh menjual ayam pada harga RM9.50 sekilo di pasar awam Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas 222 premis perniagaan di seluruh negeri bagi memantau pematuhan harga maksimum kit ujian pantas antigen COVID-19.

Katanya, Seksyen Penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan pematuhan mendapati tiada sebarang pelanggaran harga dilakukan.

“Bahkan ada peniaga di Seberang Jaya, yang mampu menawarkan Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri) pada harga runcit RM16.50 berbanding RM19.90 yang ditetapkan,” katanya.