PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diminta untuk memberi penjelasan berhubung justifikasi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada rakyat.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat perlu diberi kefahaman yang sewajarnya terhadap keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus semalam.

"Hari ini kita membincangkan laporan yang dikemukakan oleh BNM dan juga DOSM berhubung beberapa pengumuman yang dibuat sehari dua ini. Kita bersetuju untuk memastikan BMM dan DOSM membuat penjelasan lanjut bagi pengetahuan orang ramai berkaitan dengan OPR.

"Saya harap kita semua dapat memahami bahawasanya badan yang menentukan kadar faedah itu adalah satu badan yang bebas.

"Mereka mempunyai alasan-alasan, sebab tertentu, tapi mereka juga perlu membuat penjelasan agar orang ramai dapat memahami justifikasi kenapa tindakan tertentu diambil oleh BNM. Kefahaman yang sewajarnya perlu disampaikan kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi, di sini pada Khamis.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.

Susulan peningkatan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.