Robbi Sapinggi merupakan seorang yang murah hati, suka berjenaka dan boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris yang fasih.

Ini adalah kenangan penganjur Ekspedisi Gunung Kinabalu Coalition Duchenne, Catherine Jayasuriya terhadap Robbi, yang maut di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi semalam.

Jayasuria, yang menceritakan pengalamannya semasa menaiki gunung Kinabalu bersama Robbi dan ayahnya Sapinggi, berkata ada suatu ketika mereka mendaki ketika hujan dan suhu menjadi sangat sejuk.

"Saya sangat sejuk. Jaket dan sarung tangan saya sudah basah. Robbi menanggalkan jaket dan sarung tangannya dan memberinya kepada saya.

"Dia hanya memakai kemeja-t dan tiada sarung tangan. Beliau merupakan orang yang mempunyai perwatakkan sebegitu," katanya kepada Astro AWANI.

Jayasuria, yang berasal dari Sabah tetapi kini tinggal di Amerika Syarikat, berkata beliau amat terkejut apabila mendengar berita mengenai kematian Robbi.

"Pada mulanya, ada orang menghantar mesej kepada saya melalui laman Facebook bahawa Robbi tercedera akibat gempa itu. Jadi saya menghantar mesej kepada Robbi dan membuat panggilan.

"Tetapi tiada jawapan. Kemudian saya menghubungi kawan saya yang tinggal di United Kingdom yang rapat dengan keluarga Robbi. Kawan saya menghubungi abang Robbi dan diberitahu Robbi tercedera tetapi ok.

"Namun demikian, saya mendapat mesej bahawa Robbi sudah meninggal, tidak lama selepas itu. Saya sangat terkejut. Saya tidak dapat tidur lena selepas itu," katanya sambil menambah mereka sudah ada rancangan untuk mendaki gunung pada Ogos.

Coalition Duchenne menggabungkan pertubuhan dari seluruh dunia dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang distrofi otot Duchenne untuk membiayai penyelidikan dan mencari ubat bagi penyakit itu.

Jayasuriya sendiri mempunyai seorang anak lelaki, Dusty Brandom, yang mengalami penyakit itu.

Jayasuria berkata beliau telah mengabadikan kenangan Robbi di dalam dokumentari pendeknya mengenai 'Dusty's Trail: Summit of Borneo', di mana Robbi bercakap tentang mengapa beliau suka mendaki Gunung Kinabalu.

"Beliau hidup melalui dokumentari saya," katanya.

Pengarah eksekutif Coalition Duchenne itu berkata pihaknya akan menganjurkan pendakian amal kali kelima dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Jayasuria berkata beliau tidak pasti sekiranya pada bulan Ogos kerja-kerja pemulihan gunung Kinabalu masih akan berlangsung atau tidak, tetapi yang pasti, mereka akan adakan acara memperingati Robbi.