Tindakan Nik Nazmi Nik Ahmad yang tergamak mempersoalkan usaha Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang sebelum ini membayar dividen lebih kepada pencarum menghairankan.

Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Pusat PKR itu perlu faham pencarum LTAT bukannya golongan biasa tetapi perwira yang sanggup berkorban nyawa demi negara.

Jelasnya, tiada salahnya jika kerajaan dahulu untuk mencari jalan memastikan nilai dividen yang konsisten setiap tahun demi kebajikan kumpulan berkenaan.

“Malah, bukan dividen sahaja, LTAT juga berusaha keras untuk membantu Kementerian Pertahanan membela kebajikan pencarum.

“Ini termasuklah urusan pembelian dan pembinaan rumah pertama, membantu meringankan beban anggota yang kurang bernasib baik, memberi biasiswa pendidikan serta pelbagai lagi bentuk bantuan.

“Ya, prestasi LTAT ada turun naiknya di zaman BN. Tetapi Nik Nazmi sekalipun tidak pernah akui bahawa prestasi syarikat terbesar yang LTAT melabur di dalamnya iaitu Boustead mengalami kejatuhan nilai saham terburuk dalam sejarah. Ini tidak pernah berlaku di zaman Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu hantaran terbaru di laman Facebooknya, pada Rabu.

BACA: Dividen LTAT rendah, Hishammuddin sifatkan Mat Sabu gagal

TONTON:
Kedudukan kewangan LTAT hanya salah urus, bukan kesalahan jenayah

Pada Isnin, LTAT mengumumkan dividen sebanyak 2.0 peratus bagi ahlinya untuk tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember 2018.

Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amalizan Mohamed berkata, dividen itu berdasarkan hasil yang diraih bagi FY18 walaupun mencatat kemerosotan ketara sebanyak 51.9 peratus kepada RM221.0 juta.


Terdahulu, Nik Nazmi dalam satu kenyataan memberitahu, dividen itu mengundang kekecewaan namun ia adalah akibat daripada salah urus dan penyelewengan sejak bertahun-tahun lamanya.

Katanya, masalah yang dihadapi bukanlah satu fenomena baru, melainkan hasil daripada peninggalan dan salah laku masa lalu.

Dalam pada itu Hishammuddin menjelaskan, Nik Nazmi turut menggelapkan fakta bahawa penentuan nilai dividen amat bergantung kepada prestasi syarikat itu sendiri.

“Jadi amat jelas, apabila nilai saham syarikat ini susut, maka dividen juga susut sehingga serendah 2 peratus. Ini bukankah salah Pakatan Harapan (PH)?

“Jadi kepada Nik Nazmi dan Kerajaan PH, cukup-cukuplah menuding jari kepada kerajaan terdahulu. Akuilah kesilapan dan terimalah hakikat bahawa Kerajaan PH telah gagal mengurus tadbir negara termasuklah dalam menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia. Jangan asyik cari alasan untuk lepas tangan,” ujarnya.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin sebelum ini berkata, tiada elemen jenayah ditemui dalam kepincangan kedudukan kewangan lembaga itu bagi tahun berakhir 31 Disember, 2018.

Tegasnya, kepincangan yang ditemui dalam transaksi lepas adalah disebabkan oleh salah pengurusan oleh pengurusan terdahulu yang telah tidak diambil kira dengan betul.