Dua pemandu maut selepas kenderaan yang dipandu mereka bertembung di Jalan Pekan-Nenasi, dekat Kampung Baharu, di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 7 pagi itu mengakibatkan pemandu Proton Saga FLX, Mohamad Jambatul Firdaus Mohamad, 24 tahun, dan pemandu van jenis Nissan Vanette, Abdul Rahman Majid, 54, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harus, bomba menerima panggilan pada jam 7.02 pagi sebelum jentera pertama tiba 20 minit kemudian.

Keadaan Nissan Vanette yang dipandu Abdul Rahman Majid, 54 tahun. - JBPM Pahang
"Kita terpaksa menggunakan mesin pemotong besi bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.

"Bagaimanapun selepas mangsa berjaya dikeluarkan, pegawai perubatan mengesahkan kedua-dua meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Mohd Sani berkata, operasi mengeluarkan mangsa tamat pada jam 8.20 pagi dan kedua-dua keluarga sudah dimaklumkan mengenai kejadian.