Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menjalankan kajian impak ekonomi sebelum projek kenderaan nasional ketiga dilaksanakan.

Timbalan Menterinya, Ong Kian Ming berkata kajian itu akan dibuat selepas kerajaan menetapkan hala tuju Dasar Automotif Negara yang kini sedang disemak semula.

Katanya, pihak MITI telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta berhubung projek kenderaan nasional ketiga itu.

“Cadangan untuk menjalankan kajian impak ekonomi memang satu cadangan yang wajar dan patut.

“Buat masa sekarang, kita perlu dapatkan hala tuju yang lebih tepat kerana kita belum lagi menilai semua cadangan yang telah kita dapat daripada syarikat dan individu untuk projek kenderaan nasional baharu.

“Setakat hari ini, MITI telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta. Jadi untuk membuat kajian impak ekonomi ini, kita perlu kepastian dahulu dari segi apakah hala tuju Dasar Automotif Nasional dan selepas hala tuju ini ditetapkan, saya rasa adalah wajar untuk buat kajian impak ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan membuat kajian impak ekonomi dan kos susulan cadangan penubuhan kenderaan nasional ketiga.

Selain itu, tegas beliau, projek kenderaan nasional baharu ini akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta, di mana kerajaan hanya akan membantu dari segi kemudahan dan bantuan tertentu bergantung kepada komitmen syarikat.

Tambah Kian Ming, projek kenderaan nasional baharu akan dibuat selari dengan hala tuju dan strategi masa depan industri automotif Malaysia dengan mengambil kira unsur-unsur Next Generation Vehicles (NXGV), mobiliti, revolusi industri 4.0 dan kepintaran buatan (AI).