Penulis dan aktivis masyarakat Datin Paduka Marina Mahathir menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim bahawa golongan yang mengamalkan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak layak menyertai pasukan polis, adalah tidak masuk akal

Beliau berkata, polis seharusnya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah jenayah dalam negara ini dan tidak memperbesarkan isu yang tidak wujud.

"Kenyataan tersebut tidak masuk akal. Saya tidak rasa mereka yang mengakui sebagai gay secara terbuka akan menyertai polis, kerana semua orang tahu penerimaan polis terhadap kumpulan LGBT adalah tidak positif.

"Namun, setiap individu mempunyai hak untuk menyertai polis, jika anda memenuhi kriteria yang dikehendaki. Saya tidak rasa naluri seks penting untuk menjadi polis," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika melakukan tinjauan mesra bersama Gerakan Selamatkan Malaysia di Pasar Malam Jalan Telawi, Bangsar, di sini pada petang Ahad.

Hadir sama bekas pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua.

Sementara itu, Ambiga menegaskan naluri seks adalah faktor dalaman individu.



VIDEO : Golongan LGBT tak layak sertai polis - Datuk Seri Noor Rashid

"Perkara ini melanggar norma hak asasi manusia di peringkat antarabangsa, dan polis perlu melihat perkara ini semula. Jika dalam negara lain, perkara ini dilihat sebagai satu diskriminasi," katanya.

Sementara itu, Tian Chua berkata, polis seharusnya mengelak daripada memberikan kenyataan yang berbaur diskriminasi.

"Polis seharusnya memastikan rakyat berasa selamat daripada segala serangan dan ancaman serta memberikan persekitaran yang aman kepada negara kerana setiap kenyataan polis memberi impikasi yang serius.

"Kita perlu mengingatkan Timbalan Ketua Polis Negara, untuk berpegang teguh kepada tanggunjawabnya, iaitu menjaga keselamatan negara," katanya.

Sebelum ini, Noor Rashid Ibrahim berkata, golongan LGBT tidak layak menyertai pasukan polis, kerana golongan tersebut jauh menyimpang dari tatatertib budaya Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.

Beliau berkata, budaya itu bukan ditentukan oleh pihak polis sebaliknya adalah adat dan penerimaan rakyat di negara ini.