Istana Selangor menjelaskan kelewatan pelantikan Menteri Besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman parti Keadilan Rakyat (Keadilan) serta ketidaksefahaman parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam isu pencalonan Menteri Besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan parti-parti DAP dan keadilan mematuhi surat daripada istana bertarikh 27 Ogos 2014 menyulitkan lagi tindakan D.Y.M.M Sultan Selangor yang terpaksa meneliti calon-calon lain dalam parti Keadilan yang tidak dicalonkan.

Berikut adalah kenyataan penuh daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani:

D.Y.M.M Sultan Selangor membuat keputusan untuk melantik Y.B Tuan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Adalah menjadi amalan D.Y.M.M Sultan Selangor untuk tidak melengahkan perlantikan seorang Menteri Besar yang merupakan satu jawatan yang amat penting di dalam Kerajaan Negeri Selangor. Namun kelewatan perlantikan Menteri Besar Selangor pada kali ini adalah disebabkan pergolakan dalaman parti Keadilan Rakyat (Keadilan) serta ketidaksefahaman parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam isu pencalonan Menteri Besar.

Di samping itu keengganan parti-parti DAP dan keadilan mematuhi surat daripada istana bertarikh 27 Ogos 2014 menyulitkan lagi tindakan D.Y.M.M Sultan Selangor yang terpaksa meneliti calon-calon lain dalam parti Keadilan yang tidak dicalonkan.

Y.B Tuan Mohamed Azmin Ali yang berasal dari Kampung Klang Gate Baru, Hulu Klang, Gombak sejak tahun 1968 dilantik adalah berdasarkan kepada beberapa faktor penting yang menjadi pertimbangan D.Y.M.M Sultan Selangor. Baginda telah mengambil maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen dari parti PAS, Keadilan dan DAP. Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa Menteri Besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN dari parti Keadilan untuk mendapat kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor.

Y.B Tuan Mohamed Azmin Ali juga merupakan Timbalan Presiden parti Keadilan dan oleh itu D.Y.M.M Sultan mempunyai keyakinan bahawa sebagai seorang Timbalan Presiden yang dipilih pastinya mempunyai sokongan padu bukan sahaja dari parti Keadilan malah dari parti-parti PAS dan DAP yang membentuk kerajaan gabungan (coalition government) untuk mentadbir Kerajaan Negeri Selangor sekarang.

Terdapat kenyataan-kenyataan yang menyatakan bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor telah mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk pelantikan Menteri Besar Selangor. Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor tidak pernah mencampuri dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, selain dari menasihati Dato' Menteri Besar Selangor. Di dalam urusan pelantikan Dato' Menteri Besar Selangor, D.Y.M.M Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara Baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.

Dengan pelantikan Y.B Tuan Mohamed Azmin bin Ali sebagai Dato' Menteri Besar Selangor, D.Y.M.M Sultan Selangor berharap agar Y.A.B Tuan Mohamed Azmin bin Ali dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan integriti yang tinggi dan akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat dan Negeri Selangor di dalam pentadbiran beliau.

Sekian

Dato' Haji Mohamad Munir bin Bani, D.P.M.S, J.S.D
Dato' Lela Bakti Setiausaha Sulit
Kepada D.Y.M.M Sultan Selangor


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

* Datuk Mohamad Munir Bani adalah Setiausaha Sulit Sultan Selangor