Pandangan politik daripada badan bukan kerajaan, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dilihat tidak pernah mewakili majoriti suara orang Melayu di Malaysia seperti yang didakwa oleh presiden pertubuhan tersebut.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman pada Selasa telah mengeluarkan kenyataan kontroversi berbaur perkauman apabila menyifatkan kedatangan pendatang China ke Tanah Melayu bersama-sama penjajah British suatu ketika dahulu sebagai satu bentuk pencerobohan.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali (gambar) berkata pandangan politik ISMA itu bukannya pandangan mewakili suara orang Melayu.

UKM
DR MOHD FUAD: Abdullah harus kaji sejarah terlebih dahulu

“Sepatutnya, dia (Abdullah) tidak boleh berkata begitu dan dia seharusnya mengkaji sejarah terlebih dahulu seperti adakah benar kedatangan orang China ke Tanah Melayu pada zaman dahulu adalah sebagai menceroboh kerana harus diingat kita sebenarnya sama-sama dijajah oleh British ketika itu,” kata Mohd Fuad kepada Astro AWANI.

Tambah Mohd Fuad, kedatangan orang China ke Tanah Melayu ini adalah atas jemputan British yang melihat bahawa mereka ini berpotensi untuk mengerjakan lombong bijih timah yang ketika itu menjadi milik British.

Sementara itu, beberapa ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti kerajaan dan pembangkang turut sepakat tidak bersetuju malah menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh ISMA itu.

UMNO
NUR JAZLAN: Pandangan ISMA bukan cerminan pandangan politik Melayu

Ahli Parlimen Pulai dari Barisan Nasional, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata pandangan ISMA itu tidak langsung mencerminkan pandangan politik keseluruhan orang Melayu di negara ini.

“Datuk saya sendiri berasal dari daerah Guandong, China jadi sudah tentu saya rasa terhina dengan pandangan ISMA itu. kerana kenyataannya itu tidak ada asasnya dan tidak langsung memikirkan mengenai sejarah atau orang yang ditujukan,” kata Nur Jazlan.

PAS
KAMARUDDIN: Orang Melayu kena terima hakikat bahawa kita hidup bermasyarakat dengan pelbagai kaum

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) berkata beliau yakin bahawa pandangan Presiden ISMA itu tidak lebih hanyalah merujuk kepada pandangan diri sendiri dan bukannya orang Melayu.

“Dakwaan mereka (ISMA) mewakili pandangan politik Melayu itu sangat tidak betul. Saya yakin bahawa mereka ini tidak mewakili majoriti suara orang Melayu atau majoriti orang Islam,” kata Kamaruddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat menyifatkan bahawa seluruh orang Melayu bukan sahaja di Malaysia tetapi di Kelantan amnya harus menerima hakikat bahawa orang Melayu perlu menerima hidup bermasyarakat dari pelbagai kaum dan pelbagai agama.

PKR
MOHAMAD IMRAN: Kenyataan itu sekadar untuk raih populariti
Selain itu, Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid (gambar) berkata kenyataan Abdullah Zaik itu tidak kurang hanyalah sekadar untuk meraih populariti pertubuhan tersebut.

“Bila masa kita lantik ISMA untuk wakili pandangan politik kita?. Bagi saya, dia tidak mewakili sesiapa pun termasuk diri saya kerana kita tidak pernah mempunyai pendirian sebegitu dan kita mahukan satu kerukunan yang harmoni antara semua kaum,” kata Mohamad Imran.

Imran yang juga calon Ketua Cabang PKR Lumut untuk Pemilihan Parti PKR yang sedang berlangsung ini menambah jika kenyataan ISMA itu diambil kira bagaimana perpaduan nasional 1Malaysia yang digembar-gemburkan oleh kerajaan dapat dicapai.

DAP
TENGKU ZULPURI SHAH: Apa yang kita kesalkan dan tidak bersetuju adalah cara mereka membuat perbandingan dengan memburukkan orang lain

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menganggap bahawa pendirian ISMA itu adalah pendirian pertubuhan itu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan pandangan politik Melayu.

“Tiap-tiap kaum atau bangsa berhak untuk melindungi atau membangunkan bangsa masing-masing dan tiada masalah selagi ia tidak melanggar peraturan dan perlembagaan Malaysia dan tidak sesekali memburukkan kaum lain,” kata Tengku Zulpuri Shah.

Tambahnya lagi, “Terpulanglah kepada apa jua perjuangan ISMA ini namun apa yang kita kesalkan dan tidak bersetuju adalah cara mereka membuat perbandingan dengan memburukkan orang lain. Malah dalam Islam pun tidak boleh. Jika hendak berpolitik sekalipun, gunakanlah lunas-lunas yang ditetapkan,”.

Beliau yang juga Adun Mentakab menambah bahawa terdapat titah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang menyeru agar rakyat Pahang tidak mengungkit kisah-kisah lama serta membuat satu andaian kepada pihak-pihak lain yang akan menimbulkan ketegangan.

“Apa yang saya lihat sekarang ini banyak NGO pada masa kini lebih terarah kepada satu bentuk aliran ‘pecah dan perintah’ dimana cuba menaikkan bangsa sendiri tetapi dalam masa yang sama pula menghina dan mengutuk kaum-kaum. Tindakan buruk ini hanya akan menyebabkan perpecahan lebih besar berlaku dalam masyarakat,”.