Kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing bahawa sambutan 31 Ogos tiada kaitan dengan Sarawak boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kenyataan James itu juga boleh membawa keburukan kepada integrasi nasional.

“Saya kira kenyataan bahawa Sabah dan Sarawak tak perlu raikan 31 Ogos itu satu kenyataan yang boleh memecahbelahkan kita.

“Itu satu kenyataan yang tidak baik untuk integrasi nasional sebab dalam usaha kita dalam integrasi nasional ini, kita nak rapatkan tiga wilayah ini; Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Apabila ada kenyataan begini, ia seolah-olah boleh memecahbelahkan kita dari segi integrasi nasional,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Semalam, James dipetik berkata bahawa rakyat Sarawak tidak perlu meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang jatuh pada 31 Ogos memandangkan hari tersebut merupakan hari kemerdekaan Malaya.

BACA: '31 Ogos Hari Kemerdekaan Malaya, tiada kaitan dengan Sarawak' - James Masing

BACA: Tiada sambutan 31 Ogos di Sarawak? 'Umpama menidakkan hari jadi suami, isteri' - Jeniri

Ditanya tentang penyelesaian yang boleh diambil antara semenanjung, Sabah dan Sarawak, Teo mencadangkan agar Malaysia mengambil contoh dari Amerika Syarikat (AS).

“Amerika Syarikat mempunyai 50 negeri jadi mereka terpaksa mencari satu tarikh untuk disambut bersama sebagai hari kebangsaan mereka. Akhirnya kesemua negeri setuju dengan tarikh 4 Julai.

“Mungkin Semenanjung, Sabah dan Sarawak boleh pilih satu tarikh yang boleh disetujui semua supaya kita ada satu tarikh yang sama untuk hari kebangsaan,” katanya.

Teo juga tidak setuju dengan pendapat bahawa 31 Ogos sepatutnya dikenali sebagai hari kebangsaan Malaya.

Katanya, Malaysia akan hanya ke kebelakang sekiranya menggunakan istilah Malaya memandangkan istilah itu sudah tidak wujud lagi.

“Malaya adalah satu istilah yang tak wujud dah sekarang. Rata-rata kita kenali sebagai Malaysia. Kalau kita guna Malaya, itu satu langkah ke belakang.

“Sebenarnya istilah Malaya itu sudah lama kita tinggalkan, dan istilah ini sudah menjadi bahan ejekan oleh orang Sabah yang memanggil kita sebagai orang Malaya dengan maksud yang agak negatif,” kata Teo.