Amerika Syarikat (AS) mengulangi bahawa kepentingan asasnya dalam hubungan perdagangan dua hala dengan Malaysia masih kekal kukuh.

Dutanya ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, berkata kepentingan asas itu melibatkan ekonomi dan perdagangan, memerangi keganasan dan keselamatan serta pendidikan.

"Satu daripada objektif saya sebagai duta adalah untuk menambahkan bilangan pelajar Malaysia di AS. Bilangan ini telah merosot disebabkan oleh banyak sebab-sebab sejarah.

"Kami menyasar menambah bilangan itu untuk mengukuhkan hubungan dan menawarkan kepada rakyat Malaysia perspektif yang sangat berbeza," katanya semasa persidangan Meja Bulat Korporat Malaysia yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Dr Michael Yeoh dan Pengarah ASLI, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Hubungan Malaysia-AS amat kukuh dan positif terutamanya dalam bidang pendidikan, pertahanan dan keselamatan serta kerjasama serantau dalam tempoh 60 tahun lepas.

Lakhdhir, yang menggalas jawatan itu pada Januari tahun ini berkata, terdapat banyak peluang bagi pelajar Malaysia untuk belajar di AS dan matlamat kedutaan adalah untuk membantu menghubungkan pelajar dengan kolej dan universiti Amerika.

Beliau berkata pelajar Malaysia yang memohon visa pelajar pada 2016 mendapat 99 peratus kadar kelulusan.

Sementara itu, mengenai hubungan ekonomi dan perdagangan, beliau berkata delegasi wakil perdagangan AS akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada pertengahan Julai untuk membincangkan agenda perdagangan.

"Ini merupakan mesyuarat pertama seumpamanya di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Saya rasa ia merupakan peluang baik bagi kedua-dua pihak untuk berbincang dan mencari peluang menambah baik hubungan pada masa hadapan," kata Lakhdhir.

Dalam tempoh lima bulan pertama 2017, perdagangan Malaysia dengan AS meningkat sebanyak 23.3 peratus kepada RM68.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA