Keperluan orang muda bakal menjadi antara agenda utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, ia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjamin kelangsungan masa depan yang lebih baik untuk generasi itu.

Beliau berkata, meskipun pelbagai usaha dalam menyantuni dan mendampingi golongan itu telah dilakukan, namun manifesto itu penting kerana mengambil kira pandangan keperluan serta kehendak pengundi muda.

Katanya, kerajaan bersetuju dengan syor yang dibawa Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sekali gus membuktikan kerajaan sedia ada sentiasa mendengar aspirasi golongan itu.

“Saya bersetuju dengan syor Khairy supaya manifesto kita akan masukkan satu bab khusus untuk orang muda. Untuk Pemuda dan Puteri.

“Kita akan fikir tentang soal ilmu dan kemahiran. Bagi peluang, gaji dan pendapatan, peluang pekerjaan, tempat tinggal, gaya hidup anak muda. Semua kita akan masuk dalam manifesto BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN peringkat kebangsaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh pada sabtu.

Hadir sama pada majlis yang dibanjiri oleh kira-kira 10,000 jentera Pemuda dan Puteri itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan dan Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, manifesto khas untuk golongan muda itu merupakan satu sejarah dalam pilihan raya negara.

Katanya manifesto itu juga membuktikan keprihatinan Kerajaan BN dalam mendengar suara anak muda.