Kepusatan ASEAN antara isu yang ditekankan Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara ASEAN ke-50 yang berlangsung di Manila, pada Isnin.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semasa mesyuarat itu telah menekankan kepusatan ASEAN merupakan langkah penting di dalam memacu agenda Pembinaan Komuniti ASEAN ke tahap yang lebih tinggi.

"Negara-negara ASEAN mesti bersuara dengan satu nada di dalam mengetengahkan pandangan di dalam pelbagai isu yang menyentuh kepentingan bersama.

Ini adalah penting kerana semakin penting kerana semakin banyak negara dan organisasi yang berminat untuk menjalin hubungan kerjasama yang lebih kukuh dengan ASEAN," kata kenyataan itu.

Anifah sebagaimana dipetik dalam kenyataan itu berkata, Malaysia terdorong oleh fakta bahawa ASEAN menerusi Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN (TAC) berterusan menarik minat daripada negara-negara di seluruh dunia.

"Dengan lebih banyak rakan yang muncul untuk berunding dengan ASEAN, kita perlu mengendalikan dengan lebih baik hubungan kerjasama dengan mereka," beliau disebut sebagai berkata.

Kenyataan itu menerangkan menteri itu juga melahirkan pentingnya kesalinghubungan ASEAN dan menyatakan ia memainkan peranan dalam proses pembinaan komuniti dan hubungan rakyat dengan rakyat.

"Ia memudahkan pembangunan rantau ini yang tidak bersempadan, menerusi integrasi serantau yang dipertingkat.

"Malaysia menyambut baik usaha memajukan Konsep projek bagi setiap daripada 15 inisiatif di bawah Pelan Induk mengenai Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025."

Berhubung Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Anifah gembira isu hak asasi manusia di bawah tanggung jawab AICHR telah mencapai kemajuan dalam beberapa tahun ini.

"Komitmen kukuh kami kepada AICHR dibuktikan menerusi pelaksanaan satu lagi inisiatif diterajui Malaysia di bawah naungan AIHCR pada 2017, iaitu Konsultasi Serantau AIHCR tentang Hak mendapatkan Air Minuman dan Sanitasi Selamat yang akan diadakan pada suku ketiga 2017 di Malaysia."

Anifah berkata beliau kini boleh dengan bangganya berkata ASEAN telah berjaya mengekalkan dan meningkatkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, bahkan mengalami perubahan dan mencapai kemajuan lebih daripada apa yang dihasratkan oleh ASEAN.

Menurut kenyataan itu, Anifah semasa mesyuarat itu telah menyentuh isu Laut China Selatan dan menekankan bahawa adalah penting untuk mendukung perpaduan dan kepusatan ASEAN dalam isu itu, bahkan beliau berkata bahasa yang sesuai dalam isu itu perlu dinyatakan dalam Kenyataan Bersama.

"Secara minimumnya, kita mesti berpegang teguh pada frasa di dalam Kenyataan Bersama ke-49 di Vientiane pada 2016 yang merujuk kepada penambakan, non-militarisation dan kawalan kendiri dalam tatalaku aktiviti,' katanya.

Beliau berkata tuntutan maritim mestilah berdasar, serta ditangani dan diselesaikan berlandaskan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982)

Mengenai Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan, beliau berkata Malaysia menyambut baik kemuktamadan rangka kerja COC dan berharap pembentukannya dapat dipercepat.

Kenyataan itu berkata para Menteri Luar ASEAN juga membincangkan situasi di Semenanjung Korea dan Timur Tengah, di mana Malaysia mengulangi hal mustahaknya menangani isu-isu ini secara menyeluruh.

Hasilnya, dua kenyataan dikeluarkan, iaitu Kenyataan Menteri Luar ASEAN mengenai Perkembangan di Semenanjung Korea dan Kenyataan Menteri Luar ASEAN mengenai Situasi di bumi Al-Haram Al-Sharif.

-- BERNAMA