KUALA LUMPUR:Apa sahaja keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi cerminan kepada kepentingan rakyat.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia berkisar kepada tiga perkara asas iaitu politik angka, kesetiaan kepada parti dan pemimpin serta personaliti yang terlibat.

"Agong akan membuat keputusan yang terbaik kepada rakyat agar mandat itu akan beri cerminan ke atas apa yang berlaku hari ini, pilihan ke PRU paling mencabar dan sudah pasti keputusan yang bawa ke arah itu adalah salah satu keputusan mencabar.

"Ini antara beberapa (pilihan) yang boleh dilakukan oleh Agong termasuk menolak apa yang dibawa Anwar jika bawa keraguan.

"Mungkin (senarai) ada itu ada pada 23 September, mungkin sekarang tidak ada lagi," katanya semasa sidang Skype pada Selasa.


Anwar mendakwa mempunyai sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional.

Dalam sidang media khas hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, telah menyampaikan bukti berupa surat akuan sumpah dan pengesahan ketua parti berkaitan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara kenyataan Istana Negara memaklumkan,  Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan
dakwaan tersebut.