Keputusan untuk menilai semula kadar kenaikan caj parkir kereta akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia akan mengambil kira suara warga kota secara keseluruhannya.

Ujarnya, pihaknya kini sedang membuat penelitian untuk cadangan kadar yang tidak mengetepikan kepentingan rakyat serta kelestarian ibu kota.

"Lagi dua atau tiga hari, atau empat lima hari lagi, tunggulah. Kita sekarang sedang dapatkan maklum balas daripada rakyat.

"Ada yang gembira, ada yang suka, ada yang tidak suka. Kita akan putuskan untuk rakyat kerana Kerajaan yang ada hari ini sentiasa menjaga kepentingan rakyat.

"Kita lihat bandar raya juga perlu menjadi bandar raya lestari, bandar raya yang tidak banyak asap dan sebagainya," katanya semasa sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Dataran DBKL di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, tiada pemansuhan kenaikan caj parkir kereta di beberapa kawasan, terutamanya kawasan kediaman sekitar Kuala Lumpur seperti dilaporkan.

Keputusan DBKL untuk menaikkan kadar parkir di sekitar Kuala Lumpur telah mencetuskan rungutan pengguna, apabila ramai menganggap masanya belum tiba.

Ini kerana sistem pengangkutan awam di Lembah Klang belum dapat diintegrasikan sepenuhnya ekoran sistem Aliran Transit Massa (MRT) yang masih dalam pembinaan dan hanya akan memulakan operasi hujung tahun ini.