Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata perkara yang terkandung dalam resolusi 10 perkara peringkat kabinet pusat itu akan dikekalkan di kedua-dua negeri.

"Baru-baru ini apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai kalimah Allah, ia tidak menyentuh sama sekali mengenai amalan Kristian di Sabah dan Sarawak, malah 10 points agreement masih dikekalkan," katanya.

Najib yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berucap demikian semasa merasmikan Perhimpunan Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-28 di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan bahawa 'The Herald', penerbitan mingguan Katolik dilarang daripada menggunakan kalimah Allah pada 14 Okt lepas untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah 'Allah' bagi merujuk kepada Tuhan.