Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan memansuh atau meminda Akta Hasutan 1948 dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata pada dasarnya kerajaan dalam proses mempertimbangkan Akta Hasutan dengan tujuan memansuhkannya.

"Kerajaan telah memutuskan bahawa sekiranya terdapat sesiapa sahaja (disiasat) di bawah Akta Hasutan, kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada pihak polis untuk tidak menggunakan akta itu terhadap mereka yang terlibat," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai komitmen kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mengkaji enam akta sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan.

Enam akta itu adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Pencegahan Keganasan 2015; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, Vui Keong berkata kerajaan mengambil pendirian bahawa seseorang ahli politik perlu menerima sebarang kritikan, khususnya kritikan membina.

Jelasnya, kebebasan untuk mengkritik walau bagaimanapun tidak bermakna sesiapa sahaja boleh mengeluarkan kata-kata bertujuan memfitnah atau memusnahkan reputasi individu kerana memfitnah adalah satu kesalahan di bawah undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad setuju dengan penahanan individu yang mengkritiknya.