Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 30 Julai sama ada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak boleh menarik balik samannya terhadap Anggota Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee berhubung klip video berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 atau RUU355.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tan Ch'eng Leong yang mewakili Pua yang membantah permohonan Najib untuk menarik balik saman tersebut.

Terdahulu, Tan dalam hujahnya berkata ia akan menimbulkan prejudis kepada anak guamnya kerana tidak ada saluran untuk beliau menjustifikasi kenyataannya berkaitan RUU.

Beliau juga berkata anak guamnya telah memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah injunksi sementara yang dibenarkan kepada Najib.

"Justeru, isu itu penting untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Adalah tidak adil kepada anak guam saya jika Mahkamah membenarkan penarikan balik saman itu sebelum rayuan didengar," kata beliau.

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata permohonan itu akan memberi faedah kepada Pua kerana anak guamnya telah memohon untuk menarik balik saman tanpa liberti untuk memfailkan permohonan yang baharu.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 Ogos bagi pengurusan kes rayuan Pua terhadap notis kehakiman.

Pua dalam rayuannya mempersoalkan notis kehakiman Mahkamah Rayuan yang menyatakan Najib tidak melakukan salahlaku melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan notis kehakiman itu dipersoalkan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan boleh menjejaskan kes saman yang lain.

Pada 14 Feb, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pua untuk membatalkan injunksi interparte sementara yang diperoleh Najib terhadapnya (Pua) berhubung klip video tersebut yang bekas perdana menteri itu mendakwa sebagai berunsur fitnah.

Menurut panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara dan hasil siasatan telah diumumkan kepada umum oleh Peguam Negara dan SPRM membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku.

Pada 21 April, 2017, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Pua kerana mendakwa anggota Parlimen Damansara itu membuat kenyataan berbaur fitnah ke atasnya dalam klip video tersebut berkaitan pembentangan RUU355.

Bekas perdana menteri itu mendakwa klip video tersebut yang dimuat naik oleh Pua atau ejen-ejennya dalam laman Facebook rasmi defendan, berdurasi dua minit dan 21 saat dan bertajuk "BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS' RUU355 Private Member's Bill", boleh diakses dan ditonton secara meluas dan percuma menerusi Internet.

Najib juga mendakwa video siaran langsung itu mengandungi perkataan-perkataan yang merujuk secara khusus kepadanya dan membawa maksud bahawa beliau menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepadA Speaker Dewan Rakyat supaya memberi laluan kepada Anggota Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan rang undang-undang yang lain.

-- BERNAMA