Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 merupakan pemudah cara untuk peringkat pengajian yang seterusnya dan bukan penentu hidup bagi calon-calon yang terlibat.

Perunding kerjaya, Nik Faiz Iskandar Nik Zahari berkata, walaupun jalan calon yang mendapat keputusan cemerlang lebih mudah, ia bukan bermakna cita-cita mereka yang mendapat keputusan sederhana tidak tercapai.

Jelasnya, yang paling penting, calon perlu menetapkan hala tuju sebaik mungkin, matlamat, minat serta memilih kursus yang bersesuaian dengan diri masing-masing.

"Apa yang boleh calon ini buat, sebelum pilih jurusan yang hendak diikuti, nilai kebolehpasaran jurusan itu sendiri.

"Perlu ada minat, jurusan mana pun kena ada minat. Minat merupakan faktor penting kerana akan jadi perangsang untuk mengekalkan prestasi pengajian sehingga ke alam universiti.

"Daripada segi permintaan pasaran, maksudnya dari segi bagaimana jurusan diikuti itu mempunyai permintaan pasaran, ini berkait rapat kepada kebolehpasaran pelajar itu nanti," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: SPM 2017: GPN meningkat 0.15 berbanding 2016

GALERI GAMBAR: Ragam keputusan SPM 2017


Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Amin Senin sebelum ini berkata, keputusan SPM 2017 menunjukkan pencapaian lebih baik dengan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.15 berbanding tahun 2016.

Jelasnya, keputusan itu diperoleh daripada GPN 4.90 pada tahun ini berbanding 5.05 pada tahun lepas dan 5.08 pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu kata Nik Faiz, paling penting calon berkenaan tidak perlu menunggu untuk satu tempoh masa lama sehingga calon itu diserap ke alam pekerjaan.

Nasihatnya lagi, ada banyak peluang untuk calon berkenaan dalam memilih pusat pengajian serta jurusan yang membuka peluang pekerjaan masa akan datang.

"Peluang pengajian sangat luas, jangan bataskan dan keputusan SPM bukannya satu pengakhiran. Ia sebenarnya satu permulaan," ujarnya.

Seramai 443,883 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2017 pada tahun lalu di 3,363 pusat peperiksaan seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 386,331 calon atau 87 peratus adalah dari calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Nik Faiz atau lebih dikenali sebagai The Career Expert, mempunyai pengalaman 12 tahun dalam bidang konsultasi kerjaya dan motivasi di sektor kerajaan dan swasta.

Beliau telah membantu lebih lima ribu graduan universiti dan kolej membuat persiapan kerjaya dengan berkongsi ilmu memilih kerjaya, membuat resume yang berkesan dan lulus temuduga dengan mudah.

Nik Faiz merupakan perunding kerjaya pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Certified Professional Career Coach (CPCC).

Beliau juga merupakan ahli aktif dan berdaftar dengan Professional Association Resume Writers and Career Coaches (PARW//CC), ST.Petersburq, US.

Sebagai perunding kerjaya, Nik Faiz telah membantu ramai individu-individu yang memerlukan khidmat untuk merancang kerjaya yang mereka impikan, bimbingan menulis resume, lulus temuduga, kenaikan pangkat, membina profil LinkedIN dan lain-lain berkaitan kerjaya.



Infografik merupakan simulasi hala tuju pelajaran kepada lepasan SPM