Keputusan sampel laksa utara yang diambil di sebuah kedai makan di Kampung Landak, Baling yang dikatakan menyebabkan pelanggannya mengalami keracunan akan diketahui dalam masa tiga hari.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung keputusan sampel berkenaan sebelum dapat mengesahkan punca kejadian itu.

Katanya, sekiranya keracunan itu disahkan berpunca dari laksa berkenaan, peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Kita sedang kenal pasti spesis bakteria yang menyebabkan keracunan makanan tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kesihatan Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan 80 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

BACA: Keracunan laksa: KKM sahkan 19 kes baharu

Dua mangsa yang dikenal pasti meninggal dunia selepas didakwa makan laksa yang dibeli di gerai itu adalah Raseah Ali Musa, 70, dan orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahim Abdul Manan, 28, kedua-duanya dari Gerik, Perak.

Setakat semalam, seramai sembilan mangsa keracunan masih dirawat di Perak dan Selangor manakala semua pesakit di Kedah telah dibenarkan pulang.