Kerajaan akan membina 10,000 unit rumah untuk generasi kedua peneroka yang tinggal di tanah rancangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata rumah berkenaan akan dibina selepas kementerian menerima peruntukan sebanyak RM200 juta seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini.

"Setiap agensi menerima peruntukan khusus RM100 juta dan kita akan bina 5,000 unit di bawah Risda dan 5,000 unit di bawah Felcra bermula tahun depan.

"Setiap rumah dianggarkan bernilai RM65,000 namun kerajaan akan menjualnya dengan harga RM45,000 selepas subsidi sebanyak RM20,000 bagi membolehkan generasi kedua peneroka memiliki kediaman sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Jalinan Kasih Peserta Azam Tani Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata antara syarat yang dikenakan termasuklah pemohon perlu mempunyai tanah sendiri untuk mendapatkan rumah di bawah projek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk melahirkan 3,000 usahawan di bawah program Mobilepreneur pada tahun depan.

Katanya, program itu menyasarkan penglibatan golongan muda dalam bidang perkhidmatan menerusi peruntukan khusus RM30 juta kepada MARA, dengan setiap peserta akan menerima bantuan sebanyak RM10,000.

"Bantuan itu merangkumi sebuah motosikal, peralatan untuk perkhidmatan usahawan serta program latihan dan kemahiran yang disediakan oleh MARA,", katanya.

-- BERNAMA