Kerajaan akan mengadakan perbincangan berhubung keperluan menghantar duta ke Korea Utara pada masa akan datang dan status Kedutaan Malaysia di Pyongyang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan itu akan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Duta Besar Malaysia ke Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad pulang ke tanah air pada 22 Februari lalu selepas menerima arahan daripada Wisma Putra.

Ia susulan ketegangan yang timbul antara Malaysia dengan negara itu berikutan pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari.

"Saya akan bincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC) 2017 di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini memberitahu, Malaysia tidak akan menutup pejabat kedutaannya di Korea Utara susulan kes pembunuhan Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un.

Najib sebelum ini memaklumkan, Malaysia tidak memutuskan hubungan dengan Korea Utara setelah republik itu memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditetapkan dalam proses rundingan sehingga membawa kepada pelepasan sembilan rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di Pyongyang.

Jelasnya, walaupun berdepan kesukaran namun penyelesaian yang dicapai berjaya memenuhi dua objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara sedikit reda apabila rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara itu, susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang, selamat tiba di tanah air, akhir Mac lepas.