Keputusan kerajaan Arab Saudi untuk mengenakan caj visa umrah kali kedua bakal memberi kesan kepada lebih 200,000 bakal jemaah umrah dari Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati berkata kerajaan Malaysia bagaimanapun menghormati keputusan yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi itu.

Untuk itu kementerian itu menerusi Kementerian Luar akan membuat rayuan selepas mendapat maklumat terperinci mengenainya.

“Kami difahamkan kerajaan Arab Saudi membuat keputusan itu kerana situasi ekonomi.

“Namun surat memaklumkan perkara mengenai caj visa itu dikeluarkan secara mengejut dan menyebabkan pelawat dan operator pelancongan tidak bersedia,” kata Mas Ermieyati selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Umrah dan Haji 2016, di sini hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan akan mengenakan caj visa kepada pelawat kali kedua ke negara itu sebanyak 2,000 riyal atau RM2,250.

Berikutan musim menunaikan umrah sampai kemuncaknyanya pada bulan November, operator pelancongan bimbang mereka yang ingin menunaikan Umrah akan membatalkan hasrat mereka di saat-saat akhir.

Justeru kementerian itu akan berhubung dengan kerajaan Arab Saudi untuk bertanya lanjut mengenai perkara itu sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi mengenainya.